Polisi-f

Perundangan Hutan

Asas perundangan hutan di Sabah ialah Enakmen Hutan 1968. Enakmen Hutan memberi peruntukan untuk mewartakan hutan simpan, kegunaannya dan bentuk pengurusan serta pengawalan penebangan dan pengangkutan hasil hasil hutan dari tanah kerajaan (tanah awam yang bukan hutan simpan). Ordinan tanah mempunyai peruntukan untuk mengeluarkan tanah kerajaan untuk diberi milik, tetapi mengalihkan atau mengangkut hasil hasil hutan adalah di bawah pengurusan dan pengawalan Enakmen Hutan. Enakmen berasingan bertanggungjawab mengenai hidupan liar dan taman-taman.

 

Enakmen hutan mengandungi peruntukan-peruntukan untuk mewujudkan dan membatalkan hutan simpan. Pada masa ini kawasan hutan yang diwartakan di bawah enakmen hutan adalah 3.6 juta hektar. Enakmen tersebut menyatakan tiada hutan simpan dalam senarai boleh dikeluarkan daripada senarai hutan simpan kecuali diperlukan untuk taman-taman, "game" ataupun "bird sanctuary".

 

Hutan simpan boleh diisytiharkan di tanah kerajaan (tanah persendirian perlu diperolehi terlebih dahulu melalui seksyen 13, Enakmen Hutan 1968) yang mana ianya belum lagi kawasan hutan simpan. Pengisytiharan hutan simpan tersebut mesti mengkategorikan kelas hutan simpan dari 7 kelas sedia ada; Perlindungan, Perdagangan, Domestik, Lipur, Hutan Bakau dan Hutan Simpan Dara. Pengemaskinian enakmen hutan pada tahun 1984, memperuntukkan seluas 132,653 hektar sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar (Kelas 7).

 

Prosidur untuk menjadikan sesuatu kawasan sebagai hutan simpan diperuntukkan dalam Bahagian II Enakmen Hutan. Selepas satu notis niat untuk menjadikan sesuatu kawasan hutan simpan diumumkan, satu forum soal jawab diadakan sebelum kawasan tersebut dijadikan hutan simpan. Yang Di Pertua Negeri boleh juga mengisytiharkan sesuatu hutan simpan dan menyatakan hak dan keistimewaan yang difikirkan patut oleh Yang Di Pertua Negeri untuk diperakui atau dipersetujui" (Seksyen 12)

 

Enakmen hutan juga mempunyai peruntukan untuk pengurusan hutan. Peruntukan utama ialah berbentuk larangan melakukan sebarang aktiviti dalam hutan simpan tanpa kebenaran. Syarat-syarat yang disertakan bersama kebenaran adalah peralatan utama pengurusan. Kuasa untuk membuat regulasi juga digunakan dalam pengurusan hutan. Ianya termasuklah kuasa memberikan insentif untuk menggalakkan aktiviti perhutanan dan juga syarat-syarat lesen hutan, yuran, pengecualian dan untuk mengawal atau melarang ekspot hasil hasil hutan dan yuran untuk ekspot.

 

Pengurusan hutan utama yang diguna-pakai di Sabah ialah had minima diameter untuk penumbangan pokok komersial. Ianya kini ialah 60 sm untuk kebanyakan pokok (Kaedah-kaedah Hutan 1969, Kaedah 11, Jadual 1). Ianya selalunya dipakai tetapi pengecualian boleh diberikan dan tumbang bersih kawasan dibenarkan untuk pengeluaran kayu palpa.

 

Penuaian hasil-hasil hutan dan pembalakan di tanah kerajaan dan mengangkut hasil hasil hutan dari tanah persendirian semuanya tertakluk di bawah enakmen hutan. Tiada kuasa untuk mengawal pembalakan dalam tanah persendirian seandainya balak-balak tersebut tidak dialihkan dari kawasan tersebut.

 

Sebagai tambahan kepada penggunaan hutan tertakluk kepada kebenaran khusus, Enakmen Hutan memperuntukkan untuk kegunaan tradisional. Hak dan keistimewaan penggunaan tradisional adalah khusus untuk hutan simpan yang diisytiharkan untuk kegunaan tersebut. Hak dan keistimewaan ini mungkin tidak diberikan, kecuali turun-temurun, tanpa kebenaran menteri. Kebenaran ini juga boleh dibatalkan seandainya ianya tidak dipraktikkan selama 3 tahun, dan Yang Di Pertua Negeri boleh pada bila-bila masa "membatalkan, mengubah atau menambah" kebenaran dan syarat-syarat tersebut (Seksyen 14). Pemegang hak dan keistemewaan mungkin diperlukan untuk memperolehi permit percuma untuk membawa keluar hasil hasil dari hutan simpan (Kaedah 10). Untuk tanah kerajaan (luar hutan simpan), beberapa jenis hak bumiputera diperakui. "Bumiputera secara turun temurun dan mereka sendiri yang bergantung kepada cucuk tanam berpindah-randah, boleh membuka dan membersih hutan belukar di kawasan yang tidak berlesen ataupun kawasan yang berdekatan dengan pertanian berpindah-randah" (Kaedah 9). Seorang bumiputera juga boleh mengambil hasil hutan dari tanah kerajaan untuk kegunaan khusus dan kegunaan peribadinya ataupun untuk kampungnya (Seksyen 41, Kaedah 9).

 

Yuran untuk hasil hutan adalah dilevi sebahagiannya di bawah Kaedah Hutan dan sebagai syarat lesen individu. Kaedah-kaedah hutan memperuntukkan tiga kategori untuk royalti: balak bulat, kayu untuk diproses di Sabah, dan kayu terubah.

 

Sebagai tambahan kepada royalti balak terdapat beberapa yuran untuk menduduki tanah dalam hutan simpan (keperluan untuk jalan, panggung dan kem, untuk operasi kenderaan dan juga untuk memproses tumbuhan).

 

Enakmen hutan mengandungi beberapa andaian awal yang mengalihkan beban pembuktian kepada tertuduh yang melakukan kesalahan. Dalam pendakwaan terhadap pemegang lesen, seandainya ada jalan keluar dari kawasan yang dituduh terdapat kesalahan membawa keluar hasil hutan ke kawasan yang mempunyai lesen, atau seandainya isipadu pengeluaran melebihi kapasiti kawasan yang dilesenkan, dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab tertuduh membuktikan ianya benar. Seandainya lesen ada, tertuduh adalah bertanggungjawab membayar royalti.

 

Perlindungan

Beberapa peruntukan adalah keperluan khusus untuk melindungi sumber hutan. Yang paling biasa adalah peruntukan yang melarang dari mencederakan hasil hutan, kecuaian menumbang dan mendedahkan hutan kepada kebakaran. Adalah juga menjadi satu kesalahan menumbang pokok di bawah had diameter yang dibenarkan (amnya 60 sm, Kaedah 11).

 

Pengumpulan Pendapatan

Seperti dijangka betapa pentingnya pendapatan hutan kepada Sabah, pengumpulan pendapatan adalah pemerhatian utama perundangan hutan. Walaupun yuran sebenar tidak dinyatakan dalam Kaedah-kaedah hutan, bentuk pengumpulan adalah "semua hasil hutan dipotong, digergaji, diubah bentuk, diambil atau dialihkan ke tempat lain" di bawah lesen haruslah dikena royalti, namun pengecualian adalah diberi untuk hasil tidak bernilai komersil (Kaedah 12). Pengukuran dan penggredan hasil hutan oleh pegawai Perhutanan diberi kuasa menentukan pungutan royalti tersebut, walaubagaimanapun ianya bergantung kepada permohonan kepada Pengarah (Kaedah 13). Royalti dan yuran adalah dibayar seperti dikehendaki ataupun seperti syarat lesen. Pembayaran lewat dikenakan yuran tambahan (Kaedah 14B).

 

Jalanraya

Peruntukan untuk jalan adalah penting di Sabah kerana kebanyakan kawasan Sabah hanya boleh dihubungi melalui jalan pembalakan. Pengarah Perhutanan ataupun pemegang lesen adalah mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan hak di atas tanah bergeran untuk membawa keluar hasil hasil hutan. Hak melalui ini adalah tertakluk kepada "kerosakan berlaku terhadap harta tetapi tidak terhadap tanah sebenar berkenaan" (Seksyen 18)

 

Kesalahan dan Penguatkuasaan

Melanggari peruntukan-peruntukan perlindungan (merosakkan hutan simpan melalui api, perlakuan dilarang dalam hutan simpan, pembalakan haram dan memindahkan hasil hutan, memotong pokok di bawah had diameter) adalah dihukum dengan denda dan dipenjara. Untuk kes memasuki tanpa kebenaran, merosakkan pagar atau papan tanda hutan simpan, hukuman adalah melalui denda (Seksyen 20(1)(c) dan 33(1)). Kesalahan menipu, menyembunyikan bahan bukti dan menerima hasil hutan haram adalah juga dihukum dengan denda dan penjara (Seksyen 30).

 

Tambahan kepada denda dan penjara, enakmen hutan memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengarah lesen dibatalkan, pembayaran yuran terhadap sesuatu kelakuan salah seolah olah ianya adalah sah, pampasan sebanyak 10 kali nilai hasil hasil hutan yang dialihkan atau dirosakkan ( Enakmen No. 2 dari 1968, Seksyen 34). Terdapat juga peruntukan untuk mendenda sesuatu kesalahan hutan (memasuki kawasan yang telah ditutup, mengamalkan pertanian pindah (Seksyen 20 (c)), tertakluk kepada jumlah pembayaran terhadap denda yang diperuntukkan di bawah kesalahan tersebut (Seksyen 35).

 

Kuasa Pegawai

Enakmen hutan memberi kuasa kepada pegawai hutan dan polis untuk melakukan penyiasatan tanpa waran (kecuali dalam tempat tinggal), merampas hasil hutan dan jentera dan menangkap orang tertuduh walaupun mereka tidak datang apabila dipanggil atau tidak mahu memperkenalkan diri mereka (seksyen 36). Pegawai Perhutanan tidak mempunyai kuasa seperti mana pegawai polis untuk memperakukan kenyataan yang dibuat oleh tertuduh (cf. Malaysia Crim. Pro. Code, F,M,S. Cap.) walaupun sesetengah rampasan mungkin memberikan kesan yang sama.

 

Muat turun kandungan Digital mengenai Enakmen Hutan 1968 (dalam Bahasa Inggeris)